The Work that Becomes a New Genre in Itself Will Now be Called...

Tuesday, November 06, 2001

[Siri Kisah Pendek: Kau Sudah Makan Belum?]
Bahagian 1: Anas Menggoreng Nasi.

Lalat bergerak deras ke arah dapur. Ada bau sengit yang datang, yang menggarit dinding hidungnya tidak henti-henti. Awalnya, dia sedang sibuk menelaah buku teks mekanik bendalir untuk persiapan peperiksaan Isnin ini, tetapi kini, dia sudah terganggu. Konsentrasinya luput sedikit demi sedikit. Risaunya semakin jauh dari hati. Perutnya mula mengadu pedih. Bau dari dapur itu seperti tidak mahu dia mengulangkaji pelajaran. Mari, makan dulu.

"Apa yang kaubuat ni, Anas?"
"Aku menggoreng nasi, lebihan malam tadi."

Lalat menjengukkan kepalanya ke dalam kuali. Bawang dan udang menggeliat kepanasan ditumis dek api. Minyak yang Anas gunakan cukup untuk memastikan tiada siapa yang terlepas. Tidak ada zat yang tidak akan diserap; semua akan dirasa, semua akan dijamah. Sedap.

"Kau sudah makan belum?"
"Bila?"
"Siang."
"Maksud kau, tengahari?"

Anas mengangguk perlahan, seolah-olah dengan perasaan bersambil menjawab pertanyaan retorikku. Dia tampak sibuk mengacau tumisan, menghidu bau, mengagak rasa.

"Sudah."

Dia menoleh ke tepi, melihat apa yang perlu dicampakkan lagi ke dalam kuali. Kedua-dua tangannya masih melekat pada kuali dan senduk, tetapi matanya ghairah melilau ke kiri dan kanan. Raut mukanya berat, macam emak hilang anak. Apa lagi, ya?

"Kau kan, sudah makan tadi, 'Nas?"
"Bila?"
"Tadi. Yang Mizi masakkan tadi pagi."
"Aku makan sikit."

Dengan sekali gus, Anas melepaskan kedua-dua tangannya. Kuali itu berputar sebentar dan sedikit, tetapi aku sambut ia laju, selaju Anas lepaskan. Anas rentap pintu peti sejuk dengan satu tangan dan menjulurkan kepalanya ke dalam peti itu, sedalam lehernya. Dia sibuk meraba-raba bungkusan-bungkusan plastik yang ada di dalam bekas sayur. Aku melihat dia cuba untuk membuka tin kacang hijau dengan dua jari, kemudian, percisan minyak panas mendarat ke atas kulit tanganku. Aduh, jahanam.

"Suka makan, ah?"
"Hm?"
"Kau, suka makan."
"Hm."

Lalat menghembuskan nafas perlahan, mendengus seperti ingin memulakan debat. Anas tidak sedar; dia masih sibuk mencari sesuatu yang dia tidak tahu apa. Sedang dia mengacau tumisan, Lalat tersenyum.

"Manusia, kalau lapar, makan. Kalau sedih, makan jugak. Kalau rasa seperti ingin 'celebrate' sesuatu, makan. Nak pergi kelas, makan. Balik kelas, makan. Bangun pagi, makan. Pukul sepuluh, makan. Tengahari, makan. Pukul empat, makan. Lepas maghrib, makan. Sebelum tidur, makan."

Tangan Anas semakin giat meraba. Senyuman Lalat pula semakin lebar.

"Kalau nak mulakan perjalanan jauh, makan. Dah sampai ke destinasi, makan. Naik kapal terbang, makan. Naik kapal laut, makan. Naik keretapi, makan. Nak main bola, makan. Balik bola, makan. Datang beraya, makan. Datang merisik, makan."

Dia menarik nafas pendek. Kepala Anas masih didalam peti sejuk.

"Kenduri kahwin, makan. Kenduri arwah, makan. Anak lahir, makan. Anak bersunat, makan. Anak bertunang, makan. Dapat cucu, makan. Sambil tengok wayang, makan. Sambil tengok tv, makan. Ada mesyuarat, makan. Ada majlis, makan. Nak date dengan awek, makan. Nak joli sama kawan, makan."

Lalat tersenyum lagi. Kemudian, dia ketawa perlahan.

"Kerjanya, makan aje."

Kepalanya digeleng-geleng. Senyuman tadi masih ada disitu, melekat agak kukuh. Mukanya meriah, seperti dia baru dapat memahami jenaka orang lain. Lucu sungguh realiti ini, bukan?

Akhirnya, Anas menutup kembali pintu peti sejuk. Dalam genggaman tangan kanannya, ada dua butir telur sebesar batu-batu di dasar sungai. Matanya terpaku pada isi kandungan periuk nasi otomatik. Mulutnya mengunyah perkataan yang sukar difahami, seperti cuba mengira sesuatu. Keningnya mengerut curam. Anak matanya mengecil.

"Aku nak masak lebih ni. Kau nak?"
"Nak."

[oleh YBLalat]

No comments:

Blog Archive