The Work that Becomes a New Genre in Itself Will Now be Called...

Thursday, November 08, 2001

[Siri Kisah Pendek: Kau Sudah Makan Belum?]
Bahagian 2: Katok

Lalat kelihatan sedang duduk dengan tenang di atas bangku simen di pinggir laluan pejalan kaki di tengah taman. Kakinya disilangkan dan tangannya disangkutkan pada leher. Anak matanya kecil; cahaya matahari agak terik. Cuaca nyaman ini memang enak, lagi-lagi jika kurang orang yang berkunjung. Duduk bersahaja dan melihat orang lalu-lalang dengan ragam mereka yang pelbagai. Kuliah seterusnya hanya akan bermula satu jam lagi. Jadi, apa yang nak dihiraukan dengan masa. Biarlah ia dibazirkan sedikit untuk nikmat cuaca yang jarang-jarang ini.

"Bai."

Kamal menjerit agak perlahan, tetapi suaranya yang kasar itu bukan mudah dihanyutkan angin musim gugur. Dengan langkah yang separuh melompat, seperti terdapat spring pada kasutnya, Kamal tersenyum melihat wajah orang yang dia kenal. Lalat menoleh ke arah suara Kamal, tetapi matanya masih belum terbuka. Bukan senang mahu bersua dengan anak jahanam itu, fikir Kamal, sedang peperiksaan penggal rancak berebut masa lapang yang ada. Semua orang tahu Lalat tidak suka diganggu, untuk apa sebab pun, apatah lagi menjelang minggu-minggu peperiksaan.

"Kau dah makan belum?"

Kamal menggerakkan lutut Lalat sedikit, seperti mahu mengejutkan orang dari tidur, tetapi dia masih belum mahu menjawab. Matanya belum terbuka tetapi kakinya diangkat ke tepi, memberi laluan kepada punggung Kamal untuk duduk bersebelahan. Lalat melepaskan nafas yang berat, separuh mendengus, dan dengan mata yang masih tertutup, menjawab pertanyaan Kamal dengan jumlah perkataan yang paling sedikit.

"Hm."

Dia jelas tidak berminat untuk berbual. Kamal tampak bingung. Keningnya ditarik-tarik ke atas.

"Ah?"
"Belum ah."
"Belum?"
"Apasal?"
"Apasal apasal?"
"Mana aku tahu, kau yang tanya."

Kamal tersengih. Lalat masih tidak mahu membuka matanya. Angin beransur-ansur berhenti bertiup. Banyak daun kering yang gugur, tetapi tiada satu pun yang mahu mendarat berdekatan tempat duduk dua orang pemuda itu. Pejalan kaki sudah makin susut, tetapi tiada satu pun yang peduli apa yang dibualkan oleh dua orang pemuda itu. Lalat menoleh kiri dan kanan sedang Kamal sibuk menyalakan rokok kesayangannya.

"Aku minum air water cooler aje tadi."
"Lunch?"
"Takde."
"Minum air water cooler je lunch?"
"Hm."
"Kat mana?"
"Kat Lind."
"Sengkek?"
"U Card dah habis value. Tinggal US$0.44."
"Haha, nak beli chinggam pun tak leh."

Kamal tersengih lagi, kali ini lagi lebar. Asap berkepul-kepul keluar dari hidungnya. Pelik, dia sedikit pun tidak menghembuskan keluar nafas, seolah-olah asap rokok tadi mengalir keluar dengan sendiri dari rongga paru-parunya. Lalat tersenyum kecil melihatkan reaksi Kamal. Dia sudah tahu pasti Kamal gelak besar dalam hatinya mendengarkan apa yang dia buat untuk tahan lapar makan tengahari.

"Sedap ah air water cooler?"

Belum sempat Lalat mahu menjawab, Kamal sudah ketawa besar. Hilaiannya kuat dan nyaring dan tepukan deras tangan pada lututnya sendiri menambahkan lagi kuat bunyi ketawanya. Lalat hanya boleh menyambut ketawa Kamal pada awalnya, sampai pertengahan ketawa, otot mulutnya letih dari tersenyum dan tersengih. Perlahan-lahan, dia cuba menarik mukanya dari melihat Kamal ketawa sebegitu gelojoh, sebegitu kurang sopan. Orang yang lalu-lalang sedikit pun tidak terperanjat, apatah lagi sibuk menghiraukan hal dua pemuda tadi. Lalat kurang senang. Dia gentar orang yang tidak kenal mereka berdua akan fikir mereka berdua ini kawan rapat. Baik dia beralih ke tepi sedikit. Tiba-tiba, Kamal kembali bersuara.

"Aku makan kat McD tadi."
"McD Dinkytown ni?"
"Hm."
"Apa?"
"Cheeseburger."

Serta-merta, Lalat tersenyum. Berbanding Kamal, senyuman Lalat lagi kecil, lagi tajam. Hujung bibirnya dikemutkan seperti mahu bercium. Pipinya tegang dan telinganya merah. Anak matanya kembali mengecil tetapi tidak sekecil dek silauan matahari tadi. Riak mukanya seperti seorang yang menahan diri dari ketawa, dari tersenyum. Nampak melucukan jika wajahnya waktu itu ditenung dekat-dekat, hati-hati. Semua orang tahu Lalat jarang senyum panjang dikhalayak ramai, apatah lagi ketawa besar. Memang jauh dari harapan. Tetapi kali ini, muka ini, senyuman ini, pastinya senyuman kambing.

"Sedap ah makan katok?"


[oleh YBLalat]

'Katok' - daging ayam/lembu yang tidak disembelih.

No comments:

Blog Archive