The Work that Becomes a New Genre in Itself Will Now be Called...

Thursday, September 27, 2001

Ruangan Soal Jawab Pelajar Luar Negeri Bersama Dr. YB Lalat
(Bahagian Satu)

[Email 1]

Buat Dr. YB, saya seorang pelajar wanita Melayu dalam lingkungan umur awal 20-an dan kini seorang pelajar tahun satu semester pertama di sebuah universiti awam ternama di US. Masalah saya bermula apabila saya berasa tertarik secara seksual terhadap seorang pelajar lelaki kulit putih yang sama kelas fizik dengan saya. Tubuhnya sasa dan tinggi dan senyumannya tidak kalah kepada senyuman Tom Cruise. Pada mulanya, saya cuba bertahan dari selalu melihatnya secara intip dari jauh, tetapi keadaan semakin parah apakala kami berdua secara kebetulan berkongsi pula sessi makmal yang sama. Malah, kami pernah menjadi rakan se-eksperimen!

Saya tidak tahu bagaimana mahu bereaksi di hadapannya. Secara tidak sengaja, saya akan berubah menjadi gadis kekok dan bertutur terketar-ketar apabila berhadapan dengan si dia. Setiap kali saya bertembung dengan si dia di bangunan fizik, saya akan berjalan dengan langkah yang diperlahankan, agar nanti jika dia berkata 'Hai', saya masih sempat untuk membuat 'eye contact' yang penuh emosi terhadapnya. Selalunya, muka saya menjadi merah padam tanpa sebab dan dari riak mukanya, saya tahu dia tidak selesa akan reaksi fizikal saya tadi. Tambahan pula, pelajaran saya juga terasa tempias pergolakan emosi ini. Markah peperiksaan fizik saya tidak menunjukkan kemajuan, malah semakin merosot pula.

Masalah ini telah berminggu-minggu berlanjutan dan kini, saya sudah mencapai tahap di mana saya rasa pasti yang si dia sudah tahu akan perasaan saya, walaupun kami tidak pernah berbual selain dari hal-ehwal pelajaran. Saya selalu mengada-adakan alasan agar kami dapat berdua-duaan dan berbincang tentang data eksperimen atau belajar bersama untuk menghadapi peperiksaan. Kawan-kawan Melayu saya yang lain sudah semakin sedar akan hal ini dan menyatakan bahawa mereka berasa tidak senang dengan tindakan saya dalam mailing list Persatuan Pelajar Malaysia di U kami. Malah ada kawan Melayu lelaki saya disini yang menyuarakan rasa cemburunya secara lantang. Tetapi apakan daya, saya tidak dapat melawan perasaan ini lagi. Tolonglah saya Dr. YB.

-Yang Pasrah Lagi Menyerah-


Dr. YB: Buat Cik YPLM, saya ingin bertanyakan beberapa soalan. Tidak ada langsung lagikah jejaka lelaki Melayu lain disitu, sehingga mahu menerjah ke dada berbulu lelaki berbangsa penjajah? Adakah jejaka Melayu yang boleh diklasifikasikan 'bukan muhrim', semuanya tidak tampan (seperti Hamid Gurkha), berkacamata tebal, pakaian berbau ubat gegat atau berambut panjang penuh selekeh (ala-rockers Melayu 80-an)? Lelaki bangsa asing yang cik gila-gilakan ini, tahukah cik, yang dia semenjak dari kecil, tidak pernah membasuh lubang bontotnya selepas melangsaikan hajat besar dengan air suci, melainkan dengan kertas tisu yang tipis? Lebih penting lagi, pernahkan cik -harapnya secara tidak sengaja- menyentuh tangannya?


[Email 2]

Kehadapan Dr. YB, saya seorang pelajar lelaki Melayu tahun akhir, jurusan kimia di [nama universiti dipadam] dan bersama saya dalam 'batch' yang sama ialah seorang gadis Melayu yang berkongsi umur dan jurusan dengan saya. Gadis ini, biarlah beliau dipanggil Gadis X, asalnya dilahirkan dan dibesarkan di UK sepanjang beberapa tahun bapanya bekerja di sana sebagai seorang diplomat. Gadis X berupaya bertutur dalam Bahasa Inggeris yang lancar, malah beliau mempunyai 'accent' Bahasa Inggeris ala-Midwest yang amat jarang dapat dimimik oleh kebanyakan pelajar Melayu lain.

Semasa memulakan pengajian kami dalam jurusan kimia di U ini, Gadis X adalah seorang muslimah bertudung yang penuh adat ketimuran dan seorang pelajar yang tekun dan berdedikasi. Sepanjang dua tahun kami berkongsi kelas dan belajar bersama, saya mula, secara beransur-ansur, berasa tertarik terhadapnya, apatah lagi dengan sifatnya yang lembut dan penuh sopan. Tetapi saya tidak berani untuk meluahkan perasaan saya kepadanya kerana takut akan menjejaskan hubungan sahabat karib kami yang kuat dan lebih utama, mengganggu prestasi akademik pula.

Kemudian, tahun demi tahun, Gadis X mula bergaul secara bebas dengan pelajar-pelajar kulit putih di kelas kami, tidak kira jantina atau latar belakang. Keadaan semakin buruk apabila beliau tidak lagi bertudung (malah mewarnakan rambutnya jalur-jalur merah-hitam) dan mula memakai pakaian yang menjolok mata saya. Gadis X juga tidak lagi berhubungan dengan pelajar-pelajar wanita Melayu yang lain dan sudah tidak datang ke majlis usrah bulanan yang dijalankan sesama pelajar muslimah Melayu. Saya cuba menasihati beliau tetapi beliau hanya memandang saya sebagai seorang yang cemburu dan dengki akan 'kematangan' beliau.

Dr. YB, walaupun saya tidak lagi memendam rasa kasih terhadapnya, saya risau akan perubahan sikap yang Gadis X alami dan wujudnya kemungkinan yang beliau akan terus lupa diri dan terjebak ke lembah yang gelap. Apa lagi yang perlu saya usahakan?

-Bujang Prihatin Di Perantauan-

Dr. YB: Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih atas usaha Encik BPDP menasihati Gadis X. Orang seperti encik amat jarang sekali dapat dijumpai. Tentang Gadis X, saya syorkan agar encik bertenang, teruskan pengajian dan tidak lagi merisaukan diri akan hal dia. Biarkanlah Gadis X mabuk dan hanyut dalam dunianya itu, kerana pada akhirnya, beliau akan pulang juga ke tanahair dan ke pangkuan keluarga tersayang dan. Saya fikir beliau kini cuma sedang melalui fasa kehidupan seorang pelajar luar negeri dimana semuanya yang bukan Malaysia tampak penuh nikmat dan menyeronokkan. Fasa ini amnya tidak lama dan selalunya akan tamat apabila beliau sedar dan datang merangkak semula ke pangkuan komuniti Melayu. Sejauh mana beliau cuba menjadi sebahagian dari komuniti kulit putih -sebanyak mana alat solek tebal, sewarna-warni rambut yang boleh, senipis mana pakaian seksi, selancar mana Bahasa Inggeris, sejauh mana beliau cuba mengasingkan diri dari pelajar Melayu lain- setiap kali Gadis X melihat cermin di tandas apartmentnya, hanya akan sentiasa ada muka orang berkulit Melayu dan bermata Melayu yang melihat kembali kearahnya.

(bersambung pada sessi akan datang)

No comments:

Blog Archive