The Work that Becomes a New Genre in Itself Will Now be Called...

Sunday, July 15, 2001

# tarikh asal siaran 27 April 2001 #

[Buku Yang Penuh Contengan]
oleh YBLalat

Langkah Jumie makin deras, makin kuat ke arah sini. Aku
rasa dia hanya ingin ke pintu belakang kelas atau ke tong
sampah di belakang aku. Bukan? Bukan! Dia ke mari! Baik
aku rendahkan pandangan, tundukkan wajah. Aku tidak mahu
ditangkap merenung ke arahnya, ke arah matanya dan ke arah
langkahnya. Jangan. Bahaya. Nanti mukaku naik merah dan
darahku mula bergelodak. Oh Tuhan, tolonglah. Tolonglah.
Oh Ariff, kenapa kau belum balik dari kantin? Oh tidak.
Sudah terlambat, sudah terlalu dekat. Habis, habis.

"Lalat, minta tolong boleh tak?"
"...."
"Soalan Add Maths yang ni, boleh?"
"...."
"...."
"OK"

Jumie menghalakan sehelai kertas putih yang tipis. Aku
sambut dengan tangan yang agak menggigil, tetapi kukira
dia tidak perasan. Anak matanya ligat menyapu permukaan
mejaku yang bersepah dengan serpihan pemadam getah yang
murah dan habuk pensil yang bertaburan dihembus nafas.
Aku letakkan kertas tipis jumie bersebelahan buku rumusku,
buku yang penuh contengan itu. Kertas itu tertulis dengan
dakwat biru soalan2 yang sudah diselesaikan dan soalan2
yang kosong, belum disentuh.

Aduh, bau badannya. Apa yang dia pakai? Pewangi apa?
Eh, jangan fikir yang bukan2. Lihat pada soalan Maths itu,
Faizal. Lihat pada soalan. Tumpukan perhatian, tumpukan
fokus. Nanti orang lain sedar, nanti orang lain tahu.
Lihat pada kertas itu. Soalan itu nampak biasa sangat,
seperti aku pernah buat selalu. Eh, bukankah soalan ini
Cikgu Saripah pernah tunjukkan satu contoh di papan hitam
beberapa hari lepas? Takkan dia tidak tahu? Dia duduk di
depan dan pada masa itu, aku lihat dia khusyuk tunduk
menyalin nota? Kenapa dia tanya lagi? Kenapa aku pula
yang ditanya? Bukankah PokNik duduk senafas dibelakangnya?

Hm...biar aku tenung lagi soalan dia. Wah, tangannya
diatas kertas. Jarinya halus, kecil. Kukunya nampak
berkilat dan berkilau dibalik kulit tangan yang putih.
Haha...pasti dia tidak selalu ke dapur. Telapak tangannya
tidak kasar dan lipatan2 pada genggamannya tidak besar.
Haha...dia pun agak rimas dan cemas, tangannya terketar2
dan jarinya tidak boleh duduk diam: sering dialih2. Aku
pikir dia pasti segementar aku. Aku lihat tangannya digesel2
pada bucu kerusi dan dijentik2nya permukaan mejaku. Apa
yang tidak kena ya? Kenapa dia begitu? Adakah...

Alamak, aku belum tulis apa2 lagi di atas kertas! Aduh, itulah
Faizal, asyik merenung dan berkhayal. Pasti dia sedar. Aduh.
Ah, jawab sahajalah. Buat2 tenang, buat2 yakin. Jangan angkat
kepala, jangan angkat mata selagi belum selesai soalan ini.
Bahaya. Ingat, budak lain tengah melihat kau dan si dia. Ingat!

[Faizal menulis apa yang patut dan selesai menjawab soalan itu.
Sepanjang menjawab, dia tidak berkata apa2 atau menoleh ke mana2.
Walaupun dia seringkali tersilap menulis nombor dan formula kerana
sering terganggu dan hilang konsentrasi, dia cepat2 membetulkan
apa yang tidak kena.]

"Siap!"

Jumie yang sedang melihat ke arah luar tingkap, kembali memalingkan
wajahnya ke arah aku. Matanya agak gementar, hampir kuyu kerana berasa
kurang senang. Kurang senang dengan reaksiku, mungkin. Aku hulurkan
kertas itu separas dadanya, sejengkal dari capaian jari2nya. Dia memberi
senyuman yang agak tawar dan mencapai kertas yang dihulur. Matanya tidak
lagi dipacakkan pada mataku, tetapi pada kertas itu. Sedang dia melihat
dan cuba memahami tulisanku yang agak bercelaru dan tergesa2 itu, aku
cuba melihat riak pada air mukanya. Indah sungguh. Suasana yang tidak
bising itu melupakan aku akan kehadiran orang lain di sekitar aku dan
si dia. Seolah2 hanya wujud dua insan disitu. Hanya dua: aku dan dia.

Senyuman tawarnya masih melekat di bibir merah dia, masih belum tanggal.
Senyuman itu bukanlah yang paling cantik pernah aku nampak, tetapi
aku dapat rasakan yang ia yang paling jujur. Lahir terus dari dalam.
Bila ya kali terakhir aku melihat senyuman begitu? Hm..tidak pula aku
ingat dan tidak pula aku tahu ada. Inikah yang pertama?

Jumie menarik badannya ke belakang dan menghelakan nafas yang agak berat.
Susahkah apa yang aku tulis? Tulisanku itu haru biru ke? Adakah rumusku itu
dia tidak pernah lihat? Aduh, kenapa ini? Ada yang tidak kena mungkin?

"Thanks, Lalat"

Dia bingkas bangun dari kerusi dan memusingkan badannya dengan pantas.

Pada saat yang cepat itu, perasaanku bercampur2. Lega dan bersalah, bangga
dan kasihan. Rasanya seperti aku mahu menarik tangannya dan meminta dia duduk
lagi lama di sisi. Tanyalah soalan apa pun. Jangan pergi dulu buat
sementara, temankan aku yang duduk seorang diri di belakang kelas ini.
Rasanya seperti aku mahu memberitahu dia bagaimana aku selalu memerhati dia
dari jauh, dengan penuh rasa bersalah dan segan-silu. Bagaimana aku
selalu terganggu dengan ketawa dan hilainya pada malam yang senyap sepi.
Aku rasa seperti ingin tahu apa warna yang dia sukai, pengalamannya yang
paling manis, suka-duka meninggalkan keluarga di sebalik lautan yang luas.
Adakah dia orang yang lucu dan bersopan. Adakah dia menggemari subjek yang
aku gemar. Adakah dia jenis yang boleh dibawa berbual kosong dan bergurau.

Tetapi, aku tahu aku tidak mampu.

Aku tahu yang aku sendiri tidak mampu ingin memberitahu dia apa pun.
Beranikah aku jika aku membabitkan diri dengan orang lain sebegitu?
Apakah aku boleh meneruskan cita2 aku jika ada orang lain yang ingin
berkongsi cita2 yang sama? Berapa dalam aku mahukan cita2 itu; dalam,
lagi dalam atau paling dalam? Berapa jauh aku sanggup berkorban untuk
cita2 itu; jauh, lagi jauh atau paling jauh? Faizal, Faizal. Kau tahu
yang kau tak boleh pergi jauh tanpa pengorbanan dan kau tak boleh melibatkan
diri dengan menyayangi yang lain selain cita2 kau. Bukankah kau berjanji
pada diri sendiri yang kau sanggup berkorban apa sahaja demi mencapai
cita2 yang satu ini? Bukankah ini yang kau idamkan semenjak kau berada
di bukit bertuah ini dari hari pertama? Sekarang, tinggal lagi beberapa
minggu sebelum kau berjuang untuk cita2 itu, kau mahu berjuang untuk
sesuatu yang lain? Untuk dia?

Fikirkan, fikirkanlah semahu kau.

Aku mengalihkan mukaku dari pandangan khayalan dan kembali menatap setiap
langkah Jumie ke tempat duduknya. Dia melabuhkan punggungnya sejurus selepas
membetulkan lebihan bajunya yang panjang menjulur itu. Dia menoleh dan
dua wajah yang gementar sebentar tadi bertembung kembali. Sebelum ini, mereka
saling berbalas harapan dan saling meminta bantuan antara mereka. Tetapi kini,
hanya satu muka yang memberi senyuman dan senyuman itu adalah senyuman yang
paling ikhlas. Malang sekali, ia indah menceriakan tetapi tidak dibalas.

Hari itu kulihat pokok2 dan angin sibuk berlanggaran sesama sendiri. Matahari kuat
bersinar dan kelompok2 awan tersebar merata tanpa susunan yang rapi. Laut Selat
bergelora dengan ombak yang pantas tetapi rendah dan daun2 tua gugur seperti
hujan petang. Alangkah tenangnya hari itu dan alangkah cantiknya pemandangan itu.
Bukankah bertuah jika aku sebebas dan seceria hari itu. Tanpa tanggungjawab yang
membeban selepas setiap nafas. Tanpa kekesalan yang merundung setiap pagi hari.

Aku melepaskan nafas dan menarik kembali perhatian kearah buku yang penuh contengan.

[Pekan Dinkytown - 31 Oktober 2000]

No comments:

Blog Archive