The Work that Becomes a New Genre in Itself Will Now be Called...

Saturday, April 21, 2001

[aku rasa inilah gurindam: kalau mahu mudah, ikutlah kata madah]

petang itu aku rasa penat, badan agak bisa-bisa.
mungkin saja aku tidak sihat, atau mungkin cuaca.

angin kuat bertiup;
matahari kian meredup.
tekak rasa kering;
haus sampai pening.

aku perlukan tenang, aku perlukan ruang.
harap tiada tetamu datang, biar apartment lapang.

gema pintu berkumandang;
suasana agak sepi.
meja komputer lengang;
tivi tidak berfungsi.

keadaan selalunya tidak begitu, ini yang makin keliru.
aku sudah hilang daya, aku sudah amat lesu.

sudut dapur nampak kelam;
mungkin tiada makanan malam.
bilik Awin pula senyap;
mungkin dia sudah merayap.

aku hempas beg yang berat, ke atas meja yang sarat.
surat-surat yang datang, nampaknya bukan calang-calang.

bil hutang bertimbun;
junk mail bersusun.
majalah baru sudah sampai;
edisi lama belum selesai.

"mahukah kau tidur?" - aku tanya diri.
"marilah ke dapur!" - jawabku sendiri.

sudu itu aku yang tinggalkan, selepas tadi menjamah makanan.
kuali itu aku yang 'bersihkan', janganlah jadi kawan syaitan!
yang boleh dipakai cuma senduk, kuah semalam aku ceduk.
kalau terasa lapar lagi, kenalah pergi memasak maggi.

telefon berdering;
mungkin hal penting.
apa caller ID paparkan?
ah! tidak! juru iklan!

kakiku berarak satu persatu, menuju kearah bilikku laju.
hampir tiada beza apa, maka nyaris aku alpa.
eh apa itu? diatas mejaku?
nota bahasa baku, dituju buatku:

"buatmu Lalat, kau kian kacak, hari demi hari"
"dahulu karat, kau kini perak, yang sukar dicari"
"hatimu sarat, aku rasa tidak, dengan semua ciri"
"mataku lihat, kau bulu merak, menghiasiku kini"
"aduh sayang! anggaplah ini pelawaan kasih dariku!"

lutut terketar,
hati bergetar.
mulut terkunci,
roma berdiri.
siku beku,
lidah kaku.
wajah mengeras,
peluh menetas.

(menyusul si suasana janggal ditemankan si reaksi kekok)

bukan pertama kali aku alami, menerima warkah pelawa diri.
dahulu ketika bersekolah, aku juga tidak kalah.
tetapi memperolehinya kini, dalam situasi diri begini.
aku rasa segan, tertekan, oh tuhan, aku rasa pasrah.

ya ya aku mengaku, aku tidak tahu!

apa perlu dibuat, selepas membaca surat.
apa perlu ditutur, jika nanti bertegur.
apa perlu dikata, jika nanti bersemuka.
apa dia jawapan, bila ada soalan, dari penulis pelawaan.

orang pasti berjenaka, dengan apa aku kata:

"kau memang hebat, wahai budak Lalat"
"rezeki datang cepat, aku pun belum dapat"
"jangan lupa aku diajak, bila hidang nasi minyak"
"semoga bahagia selalu, hingga ke anak cucu"

biarlah suasana bertenang, agar nanti boleh bertimbang.
fikirkan mana yang aku mahu, fikirkan mana yang aku perlu.
jikalau mahu mudah, ikutlah kata madah.
kau tepuklah dada, kau tanyalah selera;
kau tegurlah perasaan, kau dapatlah jawapan;
kau jumpalah sahabat, kau terimalah nasihat;
kau nilailah si dia, kau 'kan dengar suara.

empat bersorak, semua serentak, "Lalat, tidak!"

[Malam Tenang April, Pekan Dinkytown]

No comments:

Blog Archive