The Work that Becomes a New Genre in Itself Will Now be Called...

Tuesday, March 16, 2004




Jiwa Kacau



Sedang Ustaz Hambali sibuk menulis hadis Nabi yang menerangkan isi kandungan Syurga di atas papan hitam, Faizal bingkas bangun dan mengangkat tangan untuk bertanyakan soalan. Dari kedudukan mejanya yang agak jauh daripada meja guru di hadapan kelas, tangan Faizal yang diangkat tadi itu sukar untuk dilihat oleh si ustaz. Namun, Faizal tetap bersabar menunggu untuk diberi perhatian oleh ustaznya.

Selang beberapa lama kemudian, barulah si ustaz tersedar ada diantara anak muridnya yang ingin bertanyakan soalan. Amat jarang bagi mereka untuk bertanyakan soalan kepadanya sedang kelas itu hampir mendekati tamat waktu sekolah. Maka apabila dia lihat ada yang mengangkat tangan mahu mengaju soalan, dia pun berpaling kearah anak murid itu dan disoalnya dia apa kehendak yang ingin disoal.

"Ya, Faizal, soalan?"

Faizal lantas menjatuhkan tangannya yang diangkat tadi dan mula berbicara:

"Berapa umur penghuni di Syurga, ustaz?"

Ustaz Hambali memintal-mintal janggutnya dan mengusap-usap dagunya sambil cuba untuk mengingati kembali satu hadis Nabi yang pernah dia terbaca dalam Kitab Muta'al Badrin khusus menyatakan umur penghuni Syurga bagi si penghuni lelaki dan si penghuni perempuan. Anak matanya melilau-lilau menyapu siling kelas mencari jawapan bagi soalan Faizal, tetapi si ustaz tidak dapat melihat dengan jelas apa yang dia cuba cari. Dia hanya mampu mengingati hadis Nabi itu samar-samar sahaja, tetapi dia berasa agak yakin yang dia tidak salah.

"Kalau tak silap saya, lelaki, 32 tahun, perempuan, 18 tahun", jawabnya.

Mendengarkan jawapan itu, Faizal pun mengangguk tanda bersetuju dan kembali duduk di kerusinya. Dicapainya pensil dan ditariknya buku, Faizal pun mula menyalin hadis yang Ustaz Hambali tuliskan di papan hitam itu di dalam bukunya. Melihat reaksi si Faizal sebegitu puas dengan jawapannya itu, Ustaz Hambali pun kembali ke muka papan hitam dan meneruskan hadisnya yang terbengkalai tadi.

Selang beberapa lama kemudian, baru sahaja dia habis menulis bahagian kedua hadis Nabi tentang isi kandungan Syurga itu, Faizal bingkas bangun sekali lagi dan mengangkat tangannya untuk bertanyakan soalan. Melihatkan anak muridnya bersemangat untuk bertanyakan soalan hari ini, si ustaz pun meletakkan kapur putih yang dipegangnya keatas meja dan menuding jarinya kearah anak muridnya itu.

"Ya, awak, soalan lagi?"

Faizal lantas menjatuhkan tangannya dan dengan suara yang lantang, berkata:

"Ustaz, kalau saya masuk Syurga, saya nak bersetubuh dengan bidadari yang di bawah umur, datangi dia dari pintu belakangnya, pancut air mani saya ke muka dan ke dalam mulutnya, dan ikat kaki dan tangannya dengan tali rafia ke pokok mangga. Boleh ke begitu, ustaz?"

Mendengarkan soalan anak muridnya yang ganjil dan menjijikkan itu, si ustaz pun dengan serta-merta berubah muka dan mula menempelak dengan suara yang bengis:

Astaghfirullah hal azim. Benda macam tu yang awak pikir?”

Rakan-rakan sekelasnya yang lain yang sebelum ini hanya sibuk menyalin semula apa yang dituliskan oleh si ustaz di papan hitam kelas kini berpaling muka ke arah Faizal dan Ustaz Hambali. Beberapa orang murid lelaki yang duduk berdekatan dengan si Faizal secara bersorok-sorok ketawa terketar-ketar melihatkan situasi yang Faizal telah tempa untuk dirinya. Murid-murid perempuan yang duduk di hadapan barisan meja Faizal dan murid-murid lelaki yang ketawa tadi hanya mampu berpandangan sesama sendiri sambil terpinga-pinga cuba untuk memahami apa yang telah berlaku.

“Apa yang dia tanya ustaz tadi?”

“Aku tak dengar. Tahu-tahu je ustaz dah menjerit dah.”

Melihatkan reaksi yang diterima daripada si ustaz dan rakan-rakan sekelasnya yang lain, Faizal berasa cemas. Peluh dingin sebesar guli mula berbuah dari pucuk dahinya dan jatuh bergulingan membasahi kain songkoknya. Walaupun tiada angin sejuk yang berlalu meniup dari tingkap-tingkap kelas itu, dia berasa amat sejuk pada batang leher dan pangkal bahunya. Kepala lututnya terasa longgar dan kurang tenaga untuk terus berdiri lebih lama lagi. Faizal mahu duduk dan minum seteguk air kosong jika boleh, tetapi Ustaz Hambali masih kelihatan seperti mahu bersuara dengannya.

“Kenapa awak tanya soalan macam tu, Faizal?”

Faizal tahu bahawa, jika Ustaz Hambali naik darah, amat sukar bagi sesiapa pun, biar pun isterinya, si pengetua atau Pak Jais si tukang kebun, untuk meredakan darah si ustaz yang senang bergelodak itu. Walaupun Ustaz Hambali bukanlah ustaz yang paling garang yang pernah dia jumpa, Faizal tetap berasa gentar dengan suaranya yang bengis dan kuat itu. Dan dia tidak mahu nanti, Ustaz Hambali yang rapat dengan bapanya, tindakannya itu disampaikan pula ke pengetahuan bapa atau emaknya.

Tahun lepas semasa dia di darjah 4 di sekolah pagi dan darjah 3 di sekolah petang, ada cerita yang Faizal dengar dari anak jirannya pasal Ustaz Hambali. Dia pernah merotan seorang budak lelaki dua tahun lagi tua daripadanya kerana tidak sempat untuk berlari ke tandas dan dengan tidak sengaja telah melepaskan bebannya di pintu masuk bilik air budak lelaki. Apabila Ustaz Hambali dapati budak itu tidak pulang-pulang dari membuang air di tandas, dia pun datang mencari budak itu dengan rotan di tangannya. Sebaik sahaja dia sampai di pintu masuk bilik air budak lelaki, Ustaz Hambali dapati budak itu sedang menangis tersedu-sedu dengan hingus tidak putus-putus jatuh mengotori kain sampinnya. Apabila si ustaz datangi budak itu dengan lebih dekat, dia dapati lantai di antara kedua-dua kaki budak itu tersembur tahi dan air kencingnya.

Kemudian, dengan tanpa banyak soal, Ustaz Hambali pun merotan belakang budak itu beberapa belas kali sehingga dia kepenatan dan sehingga budak itu puas menangis. Yang peliknya, sepanjang budak itu dirotan dan menangis akibat dirotan, dia sedikit pun tidak bergerak untuk mengelak atau mengurangkan sakit dari dirotan. Sepanjang masa, budak itu hanya berpegang kuat pada daun pintu bilik air lelaki dan menjengkit-jengkitkan kedua-dua tumit kasutnya yang tercalit najisnya sendiri. Apabila si ustaz tiba di pintu masuk bilik air lelaki itu, budak itu hanya mampu menundukkan mukanya dan meneruskan tangisannya dengan suara yang perlahan.

Setelah puas dia merotan budak itu, Ustaz Hambali pun bergegas ke pejabat si pengetua dan menelefon bapak budak itu di kedai runcitnya, dan dipanggilnya dia supaya “…ambik anak encik ni balik dan jangan lupa bawak sabun cuci, berus dan baldi untuk basuh lantai jamban.” Kemudian, Ustaz Hambali pun memperbaharui air wudhuknya di kolam surau sekolah dan kembali ke kelas mengajar azab-azab kubur.

Setelah bapak budak itu menutup kedai runcitnya buat sementara waktu dan pulang ke rumahnya mencari sabun, baldi, berus dan seluar bersih untuk anaknya, dia pun bersinggah sebentar di Rumah Puspanita kampung itu dan menyuruh isterinya meninggalkan mesyuarat persatuan untuk menyelesaikan hal anak sulungnya yang di sekolah petang itu. Apabila mereka laki-bini sampai di pejabat pengetua, cepat-cepat si bapak budak itu memohon maaf buat anaknya kepada pihak sekolah dan berjanji akan merotan anaknya “…sampai dia faham mana betul mana salah.”

Sedang bapanya sibuk meminta maaf di bilik pengetua, emak budak itu pula sibuk menanggalkan baju melayu anaknya yang kotor dengan hingus, kencing dan tahi sambil menepuk-nepuk kepala budak itu dengan belakang tangannya, mengingatkan budak lelaki itu yang dia bukan lagi berumur 2 tahun dan perlu dicebukkan oleh emaknya. Budak lelaki itu hanya dapat berdiam diri apakala diperlakukan sebegitu oleh emaknya, dan dia tidak dapat melawan apabila emaknya memberitahu dengan tegas basikal chopper 3-gear yang budak itu sibuk mengumpul duit untuk dibelinya akan digunakan pula oleh bapanya untuk membelikan budak itu baju melayu sekolah yang baru. Apabila habis bogel budak itu emaknya telanjangkan, bapanya pun sampai dan dijiruskan badan budak itu dengan air dari baldinya sehingga dia basah kuyup. Selesai budak itu dimandi dan disabunkan, ketiga-tiga anak beranak itu pun merangkak-rangkak diatas lantai bilik air lelaki mencuci hingus, tahi dan air kencing.

Esoknya, bapak budak itu pun memindahkan anaknya ke sekolah kampung sebelah dan budak lelaki itu tidak lagi kelihatan menolong-nolong di kedai bapanya.

Mengingatkan semula cerita Ustaz Hambali dan budak lelaki yang terbuang air di pintu masuk tandas itu menyebabkan Faizal berasa lebih takut lagi; takut yang nanti dia pula yang akan tidak sempat bergegas ke tandas jika Ustaz Hambali terus memarahinya; takut yang nanti dia pula yang akan dipindahkan ke sekolah kampung sebelah jika Ustaz Hambali memberitahu bapanya apa yang dia soal di dalam kelas. Namun begitu, Faizal tetap berpendapat yang dia berhak untuk terus kekal berani berhadapan dengan Ustaz Hambali, untuk terus kekal berani kerana yakin akan soalannya yang dia fikir benar. Biarpun Ustaz Hambali itu tegas sifatnya, tetapi si ustaz itu juga hanya seorang hamba Allah sepertinya, dan bukan sifat seorang ustaz atau seorang hamba Allah itu untuk sentiasa betul dalam semua perkara.

Maka, berbekalkan sisa-sisa kekuatan yang masih tinggal, Faizal pun menjawab:

“Semalam, bukan ke ustaz yang ajar, yang beramal demi mendapatkan nikmat Syurga itu pun satu macam beriman juga?”

“Ya”, jawab ustaz ringkas, “…semalam saya ajar yang beramal untuk mendapatkan Syurga itu pun satu macam iman juga, kerana seseorang itu percaya akan nikmat Allah itu dan kewujudannya; maka, secara automatik juga, percaya akan kewujudan-Nya sebagai pencipta nikmat itu. Betul.”

“Dan hari ini ustaz ajar isi kandungan Syurga itu sendiri; bilik-bilik tidurnya yang penuh dengan bidadari-bidadari yang sentiasa anak dara; dua sungai yang mengalir di tengah-tengahnya, yang mengalirkan arak dan yang mengalirkan madu dari mana penghuni-penghuninya boleh minum dan mandi?” sambung Faizal lagi.

“Ya”, balas Ustaz Hambali, “…di Syurga nanti, apa yang haram di dunia ini akan dijadikan halal buat penghuni-penghuninya; arak, zina, babi, dadah dan sebagainya. Jika dia buta, di Syurga dia celik. Jika dia hitam, di Syurga dia putih berseri. Jika dia hodoh, di Syurga dia tampan. Jika dia mati pucuk, di Syurga dia kuda. Betul.”

Mendengarkan apa yang dibalas oleh Ustaz Hambali, Faizal kembali tenang dan mula bertambah yakin dengan apa yang dia ingin sampaikan kepadanya. Sambil dia menarik nafas diantara soalan-soalan yang dia ajukan kepada si ustaz, Faizal sempat menjeling dari penjuru matanya untuk melihat muka-muka mereka yang berdekatan dengannya. Ada yang masih tergapai-gapai mencari mana hujung dan mana pangkal cerita si Faizal dan si ustaz itu. Ada yang giat berpaling dari muka Faizal ke muka si ustaz seperti mereka menonton perlawanan tenis, pergi dan balik, pergi dan balik. Dan ada pula yang tidak sedikit pun mengambil kisah, yang hanya tahu dalam kepala mereka: sempat atau tidak jika aku berbasikal laju pulang dari sekolah nanti untuk mengejar siri Gaban Si Polis Angkasa Lepas di TV1.

Setelah dia sempat mengejar nafasnya yang tadi hampir terputus, Faizal pun meneruskan semula hujahnya:

“Jadi, tadi, bila saya kata saya mahu bersetubuh dengan bidadari yang bawah umur dan saya lakukan semua yang saya mahu pada bidadari itu, saya maksudkan: di Syurga nanti, saya boleh lakukan apa sahaja dosa, walau macam mana keji dan menjijikkan pun dosa itu di dunia ini?”

Ustaz Hambali memeluk badannya sendiri dan menjawab, “Ya, boleh.”

Dengan serta-merta, Faizal pun mengangguk tanda faham dan kembali duduk di kerusinya, di mana kemudiannya dia disambut oleh tepukan pada bahu kiri dan kanan oleh rakan-rakan lelaki yang duduk berdekatan dengannya. Separuh tersenyum, Faizal membalas sokongan mereka dengan menepuk-nepuk semula tangan-tangan mereka yang menepuk bahunya tadi.

“Cayalah, wei.”

“Gila lu mat, cool je buat ustaz marah.”

Mendengarkan bisikan-bisikan membina daripada rakan-rakannya itu, Faizal pun bertambah girang kerana telah dianggap sebagai budak pertama dari kalangan mereka semua yang berjaya mematahkan ketegasan Ustaz Hambali dan membetulkan pula kesilapan beliau di hadapan anak-anak muridnya yang lain. Walaupun dia sendiri tidak begitu yakin pada awalnya yang dia akan menang apabila berdebat dengan si ustaz tadi, Faizal tetap berpendapat dia memang berhak untuk terus berdebat dengannya, walaupun dia hanyalah seorang anak murid yang masih hijau-hijau jagung dan si ustaz pula adalah seorang guru yang terpelajar dan alim yang terhormat.

Ustaz Hambali, yang dari tadi masih lagi memeluk badannya sendiri, bergerak dengan tenang dan perlahan ke arah mejanya di penjuru hadapan kelas. Matanya melilau-lilau menyapu permukaan lantai kelas, seolah-olah sedang mencari kepastian kepada soalan-soalan yang disoal oleh Faizal tadi. Kepalanya diangguk-anggukkan sedikit dengan setiap langkah kecil yang dia ambil. Jari-jarinya yang dari tadi kuat mencengkam kain bajunya kini bergerak-gerak laju seperti dia sedang bermain piano. Nafas Ustaz Hambali turun dan naik, kuat dan senyap, dengan setiap kelipan matanya.

Tiba-tiba, dia bersuara kembali, tetapi kali ini dengan suara yang lebih tenang dan air muka yang lebih jelas:

“Tetapi, Faizal…” katanya pendek.

Sambil dia membuka semula kitab diatas mejanya ke muka surat yang ditandakannya semalam, Ustaz Hambali mencapai rotan nipis yang menjadi simbol ketegasannya dari dalam laci tingkat dua. Perlahan-lahan dia mengeluarkan rotan nipis itu dan memegangnya selari dengan kepanjangan seluar slacknya, agar murid-murid tidak dapat nampak dengan jelas kehadiran rotan nipis itu. Apabila sampai dia pada muka surat yang diingininya, Ustaz Hambali pun menyambung semula ayatnya.

“…iman yang hanya menaruh pada nikmat-Nya itu bukanlah iman yang paling baik buat seorang Muslim.”

Daripada mejanya yang terletak ke belakang sikit, Faizal mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju, dan tiap kali Ustaz Hambali berhenti berkata-kata, dia akan mengikuti langkah-langkah kecil yang diambil oleh si ustaz itu dengan anak matanya. Faizal, bagaimanapun, masih lagi belum dapat mengecam batang kayu apa yang dipegang oleh si ustaz pada tangan kanannya, dan dia tidak begitu risau untuk tujuan apa si ustaz mahu menggunakan batang kayu itu atau ke atas badan siapa dia mahu menggunakannya. Jam dinding yang terletak di atas papan hitam kelas menunjukkan hanya tinggal kurang 2 minit lagi sebelum kelas sekolah petang itu bersurai. Dia hanya perlu bersabar sedikit sebelum dibebaskan ke pangkuan si Gaban.

“Bukankah kita mahukan iman yang paling terpuji, iman para sahabat dan para wali, supaya kita mendapat keredhaan-Nya dunia dan akhirat?”

Apa yang perlu Faizal lakukan hanyalah berlakon yang dia menumpukan sepenuh perhatian kepada setiap patah perkataan yang Ustaz Hambali ucapkan, mengangguk-angguk sedikit sekali-sekala dan berpura-pura menulis apa yang si ustaz itu sampaikan ke atas buku notanya. Jika matanya bertentangan secara terus dengan mata si ustaz, jangan cepat-cepat putuskan hubungan; bahkan terus lagi merenungnya, dan lama-lama nanti, si ustaz itu sendiri yang akan memutuskannya, dan Faizal akan terlepas daripada disoal. Jika dia tergesa-gesa mengemaskan buku-buku dan kotak pensilnya seperti budak-budak lain, Ustaz Hambali boleh, dengan tiba-tiba, naik angin dan melewatkan persuraian kelas pula.

“Sejauh manakah ikhlasnya seorang hamba dalam kerjanya jika dia hanya mengharapkan hadiah dari tuannya?”

Sedang dia berpura-pura menumpukan perhatiannya kepada Ustaz Hambali, Faizal, dengan perlahan-lahan, mencari kunci basikal dari dalam kocek depan beg sekolahnya. Sambil satu tangannya meraba-raba di dalam kocek beg, satu lagi tangannya sibuk menulis-nulis di atas buku nota. Namun, apa yang dia tulis bukanlah apa yang cuba disampaikan oleh si ustaz itu, tetapi nota buat si Ezmad yang duduk di sebelahnya: ‘Gaban hari ni, episod mana?’ Tanpa mengalihkan pandangan matanya dari muka Ustaz Hambali di hadapan, Faizal menolak nota itu ke arah meja Ezmad cepat-cepat dan menunggu dia membalas semula notanya pada buku yang sama.

“Memang betul apa yang awak cakap: di Syurga nanti, apa yang dosa di dunia ini akan menjadi halal di sana. Tetapi, Faizal…”

Mendengarkan namanya tiba-tiba disebut di hadapan kelas, semua darah yang mengalir di dalam badan Faizal menjadi beku dan keras, dan jantungnya seperti ditembusi oleh ikan todak bak nasib malang si Hang Nadim. Anak matanya mengecut dan bulu-bulu romanya di belakang leher meremang. Bahunya mengeras dan kulit nipis yang membungkusi kedua-dua buah telor kelelakiannya menjadi tegang dari terperanjat. Dalam masa yang sama Faizal menyedari yang selama ini dialah yang menjadi subjek percakapan Ustaz Hambali di hadapan, si ustaz dengan beransur-ansur mendedahkah rotan nipis yang disorokkan di sebelah tepi seluarnya kepada penglihatan anak-anak muridnya yang duduk di hadapan kelas. Nampaknya aksi taat dan penuh perhatian yang dilihat Faizal dari belakang dilakonkan oleh rakan-rakannya yang di hadapan bukanlah ‘lakonan’ seperti yang dia sangkakan. Memang ada rotan di tangan si ustaz, dan mereka yang duduk di hadapan kelas nampak dan tahu apa dia.

“…kalau niat awak beribadat adalah supaya awak dapat bersetubuh macam haiwan dengan bidadari di Syurga, bukankan salah niat ibadat awak tu?”

Pada penghujung ayat itu, Ustaz Hambali berhenti daripada berkata-kata sambil berjalan-jalan di sepanjang ruang luas di antara barisan meja paling hadapan dan papan hitam. Si ustaz berdiri betul-betul di tengah-tengah ruang laluan di antara lajur kanan dan tengah, dan di tangannya, dengan terang dan nyata, terdapat rotan nipis yang telah merasai berpuluh-puluh kulit manis dan lembap punggung anak-anak muridnya, lelaki dan perempuan. Hujung rotan itu telah pecah dan alur-alur rotan yang halus telah keluar terburai sedikit akibat selalu dipukul pada permukaan meja anak muridnya yang tertidur atau tidak siap latihan. Ia mungkin kelihatan seperti tidak lagi sebisa semasa ia masih baru pada mata mereka yang tidak tahu, tetapi pada mereka yang pernah belajar di bawah Ustaz Hambali, rotan nipis itulah yang paling bisa jika dibandingkan dengan rotan-rotan guru-guru yang lain.

Bisanya datang bukan dari nipis badannya, tetapi dari jauh hayunannya.

“Faizal, sini.”

Tanpa banyak soal dan kerenah, Faizal pun mengalihkan beg sekolah yang dipegangnya dari atas peha, dan bangun dengan penuh gementar dari kerusinya ke hadapan kelas. Sedang dia bergerak perlahan-lahan ke arah si ustaz, Ezmad sempat berbisik kepadanya dalam suara yang terdesak:

“Kuncupkan bontot kau, weh!”

Dalam perjalanan dia ke hadapan kelas, Faizal dapati dia diperhatikan oleh semua yang duduk di sepanjang ruang laluan antara lajur kanan dan tengah. Ada yang tersenyum lebar dengan bersahaja di atas kesakitan yang bakal dia alami. Ada yang tertawa kecil yang ditahan-tahan sambil menjeling-jeling ke arah punggungnya yang bakal sengsara. Ada pula yang hanya dapat bersimpati dengannya, tetapi jumlah mereka yang seperti ini hanya satu atau dua orang sahaja. Faizal tidak kisah dengan apa reaksi yang ditunjukkan oleh Ustaz Hambali kerana dia takut jika ditenungnya si ustaz itu dengan muka yang tidak puas hati, si ustaz akan menambah pula sebatan keatasnya kerana berlaku kurang ajar dan tidak menunjukkan hormat. Sepanjang dia berjalan ke hadapan kelas, Faizal hanya melihat ke penjuru hujung kasutnya dan bergerak dengan langkah yang stabil ke hadapan.

Sesampai dia di hadapan Ustaz Hambali, Faizal pun menguncupkan pipi-pipi punggungnya serapat-rapat dan seketat-ketat yang boleh dan tunduk menghadap kedua-dua kepala lutut si ustaz tanpa bersuara sedikit pun. Dengan kedua-dua matanya dilekatkan pada kain songkok Faizal, Ustaz Hambali pun mula berkata-kata:

“Saya rotan awak ni bukan sebab awak bertanyakan soalan. Bagus bertanyakan soalan ni, dapat belajar lagi cepat. Tetapi bahasa yang awak gunakan tu tak elok, ya?”

“Ya, ustaz.”

“Nah, tunduk sikit, tadah sikit punggung tu.”

Mendengarkan arahan yang diberikan oleh si ustaz, Faizal pun memusingkan badannya kearah dinding tepi bangunan kelas itu, dan dengan cermat, tanpa menjejaskan keketatan dan kekuatan kuncupan punggungnya, menundukkan kepala ke paras perutnya supaya mudah buat Ustaz Hambali untuk mengambil tuju yang tepat dan menganggar lajakan rotannya yang nipis itu. Sedang si ustaz mendekatkan dan menjauhkan batang rotan itu dari punggung Faizal untuk mengukur kekuatan hayunannya, Faizal menarik nafas yang panjang dan dalam dan menahan ia betul-betul di dalam perutnya. Nafas yang ditahan itu cuba pula diteran ke arah dasar perutnya, agar nanti bila sampai batang rotan itu pada muka punggungnya, dapatlah nafas itu menyerap hentakan dan libasan rotan si ustaz dari menyakitkannya berlebih-lebihan.

Satu!

Dua!

Tiga!

“Sudah.”

Tanpa menunjukkan kepada yang lain keperitan tiga libasan si rotan nipis pada wajahnya, Faizal bangun dari tunduknya dan berjalan dengan penuh terkawal ke arah mejanya. Dengan setiap langkah yang dia ambil, kuncupan pipi-pipi punggungnya pun dilepaskan secara beransur-ansur dan kesakitan dari libasan si ustaz tadi diserapkan ke dalam kulit punggungnya secara berdikit-dikit. Nafas yang Faizal tahan di dasar perutnya sudah dia lepaskan dengan perlahan setelah habis tiga libasan dia terima. Dalam dia bergerak semula ke mejanya, Faizal tidak pun menyedari apa reaksi anak-anak murid Ustaz Hambali yang lain terhadap hukuman yang dia baru terima. Dia masih lagi terlalu sakit untuk mengambil kisah tentang apa yang mereka rasakan terhadapnya. Dengan mukanya yang ditarik rasa perit lebih daripada rasa malu, Faizal duduk di atas kerusinya dengan berhati-hati agar punggungnya tidak terlalu terkejut.

Selesai Faizal duduk dan melepaskan kuncupan punggungnya, Ezmad bersuara:

“Hari ni episod Gaban lawan Gorgof, rasaksa yang ludah asid tu.”

Sambil menggosok-gosok pangkal punggungnya dengan kotak pensil yang diperbuat dari besi karbon, Faizal, dengan suara yang menahan kesakitan, membalas:

“Cantik ah tu.”



Printer Friendly Version



No comments:

Blog Archive