Tetek Seorang Lelaki
oleh YBLalat
Matahari siang petang Sabtu itu jauh lebih terik dan bengis daripada hari-hari yang lain, seolah-olah bebola api itu cuma berjuntaian sejengkal sahaja dari capaian ubun-ubunku. Kedua belah ketiakku kiri dan kanan tidak pernah tidak melekit, setiap saat dari semenjak solat subuh sehingga kini - hanyir dan gatal. Kukesali tidak membawa pisau cukurku bersama ke kampung, pantas sahaja ingin kukerat dan kurentap setiap juraian bulu-bulu yang berpintalan dan bergantungan tak tentu hala itu. Rimas yang amat.
Kuingatkan pokok-pokok kelapa yang melangit tinggi dan pokok-pokok pisang yang rendang lebat ini akan menjadikan ceruk jauh Sabak Bernam lebih sejuk dan tenang nyaman dari kekotoran dan kehangatan akan pekan koboiku, si Kuala Selangor. Bahang yang terpancar kuat dari loteng zink rumah atukku itu cukup sahaja untuk membuatkan sesiapa pun resah gelisah dan menggeliat kepanasan seperti cacing diatas kuali.
"Pada cuaca yang sebegini azab, aku sahajakah manusia sihat yang merungut?" soalku kepada angin yang melintas malas.
Ayahku nampak bersahaja saja dengan kain pelikat lusuh dan tuala koyaknya ke hulu dan ke hilir di sekitar kawasan rumah atukku. Dia begitu sibuk dengan projek balik kampungnya, ingin membetulkan tiang aerial TV atuk yang tidak pernah elok semenjak dahulu lagi. Atuk pula, tidak seperti anak keduanya yang separuh bogel itu, khusyuk membelek-belek tayar belakang basikal Rayleigh tuanya yang dikerjakan puas-puas dek cucu-cucunya semalam. Baru sahaja ingin pergi mengayuh ke kebun untuk mengopek kelapa tua yang semakin tinggi longgokannya, basikal setia itu pancit pula.
"Kang Rin! Bapa 'eh! Madang wes!", jerit nenekku dalam loghat Jawa dari tingkap dapur, sebelum dia melempar jauh hampas kelapa perahan santan ke atas atap reban ayam di bahu kanan rumah. Sebaik sahaja ia mendarat dengan bunyi yang tidaklah sekuat mana, bertempiaran kesemua arahlah larinya ayam-ayam didalamnya itu keluar, jantan dan betina, besar dan kecil.
"Pangan ne opo, mbah?", soalku dari tingkap sebelah dalam suara yang agak perlahan. Jawaku agak teruk, dengan sebutan yang sangat pekat Melayu bakunya, yang langsung tidak ada tona, tetapi nenekku tersenyum kambing sahaja mendengarkan.
"Iwak karo sambel tawwon, Jal", jelasnya ringkas.
Aku tiba di meja makan paling cepat, memandangkan dari tadi aku hanya bepeleseran di dalam rumah dan tidak keluar-keluar dari bilikku yang berkipas laju. Masakan kampung yang serba mudah persiapannya memang selalu dipandang hina kerana rupanya yang bersifat picisan, tetapi itu tidak bermakna rasanya juga pasti akan dicemuh. Malah, dengan penuh sifat kontra dan ironi, sedapnya rasa lauk-pauk seperti ini, apatah lagi masakan nenekku, bukan calang-calang.
Sedang aku giat menghidangkan nasi yang telah ditanak keatas pinggan-pinggan yang ada, atukku kelihatan berjalan agak perlahan ke arah rumah. Kedua-dua tangannya rakus menguraikan butang-butang baju dan seluar yang berlapis-lapis tebal dan kekuyupan peluh dari pelukan badan. Memang sudah menjadi seperti suatu keseragaman di bahagian dunia sini, jika ingin masuk ke kebun mengopek kelapa pada subuh hari, mestilah berpakaian sebegitu tebal dan berlapis-lapis agar nyamuk hutan yang sebesar kumbang pisang tidak dapat hinggap dan menyedut darah manis si manusia.
Ayahku pula laju sahaja meninggalkan kerja membetulkan aerial TVnya tadi - pasti usahanya tidak berhasil lagi. Pemutar skru mata Phillips yang sejak dari tadi dikepitkan diantara siku dan dinding tepi perutnya sudah pun dihempaskan ke tanah laterit dengan penuh rasa menyampah. Mukanya merah-merah dan nafasnya putus-putus, seperti dirasuk bolong perangainya. Dengan peluh yang tidak berhenti-henti bercucuran dari atas kepala, dia menarik lebih tinggi gulungan kain pelikat yang lebih sedikit tingginya dari atas punat perut.
Nenekku masih lagi mengacau-ngacau kuali dan periuk diatas api yang kini sudah dimalapkan. Wasap yang berkepul-kepul naik kerana kacauan rakus itu senang sahaja mengacau kembali penglihatannya yang sudah pun semakin kabur. Asyik pula kulihat aksi si nenek cuba menggelecek ke kiri dan kanan, mengelakkan terjahan wasap dari terkena matanya. Gayanya yang agak lucu itu bertambahlah lagi lucu dengan rupanya yang hanya berkemban nipis dalam kain batik kuning keputihan.
Malah, bukan nenekku sahaja yang beraksi lucu di dapur tengah hari terik itu. Emakku juga, dengan kain kemban hijau tua yang amat digemarinya itu, tidak kurang hebatnya. Sambil dia bersusah-payah mengusung periuk belanga kotor dari satu para ke satu para yang lain, dia juga bersungguh-sungguh mengangkut pinggan mangkuk yang baru dibasuhnya dari satu rak pinggan ke rak pinggan yang lain. Namun, yang menyebabkan aksinya lebih lucu ditonton adalah, kerapkali sedang emakku cuba meletakkan pinggan basuhan ke atas rak yang sedikit tinggi dari kepalanya, dari capaian tangan kasarnya, tersingkap luas dan lama ketiaknya yang sangat lebat dan hitam panjang bulu-bulunya.
"Jal, bak kan kobaan tu, Jal", pinta atukku kepadaku sambil tangannya dihulurkan ke arah mangkuk air basuhan tangan.
Dan kemudian, tibalah saat itu, apabila ia memperlihatkan dirinya, seperti hantu yang berlindungan di balik pintu.
Apakala kusampaikan mangkuk air basuhan tangan tadi kepada atukku, tersentak aku buat sejurus lamanya, kerana dapat kulihat dengan penuh teliti dan jelas, bentuk dan rupa, kecondongan dan ketajaman, lekukan dan benjolan tetek atukku yang tidak pernah sebelum ini dapat kubelek sebegitu dekat dan terang. Putingnya tampak ganjil dan sedikit luarbiasa bentuknya. Punat puting tetek atukku itu seolah-olah seperti kubah besar sebuah masjid yang terletak di atas puncak sebuah bukit yang curam, sangat-sangat curam, dan kemudian, pada puncak kubah yang membulat tadi, terdapat benjolan kecil yang meruncing tajam dan menusuk. Ia kelihatan seperti bucu bawah sebuah kon aiskrim: warnanya, ketajamannya, bentuknya - cocok sekali!
Ya, benar-benar seperti itu! Aku sendiri yang melihatnya dengan terang dan nyata, dengan dua biji mataku yang besar ini, pada jarak nafas yang sangat kuat hembusannya, dalam bilik yang terang-benderang pencahayaannya - di siang hari! Apa lagi yang kauragui! Sebenar-benarnya ia sebegitu rupa dan binaan! Percayalah! Takkanlah aku mahu berbohong akan sifat sesuatu yang sungguh buruk dan memalukan ini! Sungguh pelik dan menjijikkan! Apa jenis orang yang punyai kecacatan sebegini pada badannya!
"Atukku mempunyai bentuk tetek seorang gadis 13 tahun - montok dan tajam!"
Lantas kemudiannya, tanpa dirancang dan disengajakan, aku alihkan pandanganku ke arah dada gayut ayahku pula, yang duduk bersebelahan bapanya pada bahu kiri, dan masih dengan kain pelikat lusuh dan tuala koyaknya. Pada dinding dadanya yang penuh tompok-tompok putih dan hitam itu, sedang dia penuh gelojoh mengunyah dan menelan suapan demi suapan lauk-pauk lazat yang terhidang, kusedari butir-butir peluh busuk sebesar manik dan mutiara bergolekan beransur-ansur merentasi longkang luas di antara dua puncak teteknya. Kelihatan kebanyakan butir-butir yang jatuh tadi terus sahaja meluncur hingga sampai ke penghujung jalan, ke lubang punat perut ayahku, tanpa banyak usul dan halangan.
"Mudah sahaja mereka menggelungsur di antara keduanya", fikirku sendirian.
"Pastinya dipengaruhi darjah kecerunan yang bukan seperti biasa", tambahku lagi dalam nada yang sedikit kedengaran.
Secara diam-diam dan dengan penuh berhati-hati, kutenung lagi kedua-dua tetek dan puting ayahku, satu demi satu, dan dimulai dengan yang paling dekat, si tetek kanan. Daripada sudut tajam ekor anak mataku, kukerling ia dengan penuh semangat dan fokus, tidak terlepas satu inci padu keluasan pun yang tidak kuanalisa. Aku pandang si tetek dan si puting kanan dari pelbagai sudut yang dapat dan aku cuba ukir ia kembali dalam ingatan. Aku bandingkan tetek ayahku dengan tetek atukku dalam kepala sebaik mana yang mungkin, dan jika aku rasai sukar, aku akan menenung semula kedua-keduanya, yang dipunyai si anak dan yang dipunyai si bapa. Dan kemudian, aku akan berpindah semula kepada yang hampir dilupai tadi, si tetek kiri dan putingnya, dan kuulangi langkah yang sama dan berkali-kali, kiri dan kanan, kiri dan kanan.
"Jahanam! Kedua-duanya sama! Identikal!"
Akan menyedari hal ini, dan dengan pantas dan secara spontan, tangan kiriku yang dari tadi cuma sibuk memegang lembut dan memintal-mintal bucu pemegang cawan, cepat-cepat meramas-ramas kuat dan meraba-raba liar kedua-dua puting dan tetek pada dadaku sendiri. Semakin banyak yang telah dicengkam dan dipicit, semakin banyak yang mahu dipegang dan diterokai pula. Semakin yakin aku akan apa yang aku rasai benar, semakin kuat lagi aku mahu menidakkan apa yang telah aku yakini. Denyutan jantungku semakin deras degupannya. Darah yang semakin panas dapat kurasai pada kedua-kedua telapak tanganku kini. Cuping telingaku pula sudah berubah menjadi merah menyala.
"Tak mungkin begini! Adakah ini genetik?"
Cepat sahaja mataku kembali melihat kedua-dua dada penuh peluh dan panau ayahku dan bapanya, dan cepat sahaja kedua-dua anak mataku mengekori pergerakan turun naik dan anjal kenyal si tetek dan si puting, kiri dan kanan. Betapa gentarnya hati bila aku ketahui bahawa cerun-cerun tetek yang tinggi itu dan alur-alur longkang yang luas itu dibentuk oleh lemak-lemak kenyal yang berpautan setia pada persekitaran puting hitam mereka, dan betapa gentarnya hati bila aku ketahui bahawa aku juga, seperti mereka berdua manusia kasihan ini, mempunyai sepasang tetek milik seorang anak gadis 13 tahun yang montok dan tajam.
Secara tiba-tiba, dan dengan dibakar api berang yang tidak tahu mana asal-usulnya, aku singkapkan baju T lengan pendek yang kupakai semenjak pagi tadi dengan kedua-dua belah tanganku, yang kanan kotor dengan lauk-pauk lazat masakan nenek dan yang kiri kotor dengan sisa-sisa ramasan tetekku sendiri, dan aku genggam sebanyak mana bahagian daging sekeliling tetekku. Tanpa menghiraukan keperitan dan kesakitan pada badan sendiri, aku pulas dan picit dan pintal dan aku arahkan dan muncungkan kedua-dua tetekku tadi ke arah muka semua yang ada pada meja makan waktu tengah hari itu: atuk, ayah, emak dan nenek.
Sedang mereka terkejut, aku menjerit dengan sekuat hati: "Inikah tetek seorang lelaki?"
[Malam Tenang Januari 2002, Dinkytown USA]
The Work that Becomes a New Genre in Itself Will Now be Called...
No comments:
Post a Comment