[Ya, ya Itulah Aku]
oleh Mohamad Mohamad-Sharin
****************************************************
From: "Sid AMC" [sidwuzea@hotmail.com]
To: Mozac 1998 [mozac98@egroups.com]
Subject: [mozac98] melayu minnesota
Date: Sun, 03 Dec 2000 04:43:32
assalamualaikum dan selamat berpuasa.
mmm..kepada rakan-rakan yang rindu hendak menatap wajah lalat dan mamat, kamu semua boleh
tengok dalam mingguan malaysia keluaran 3 disember. gambar pelajar malaysia di minnesota...
kepada lalat, benarkah kau itu? aku hampir-hampir tidak kenal. perubahan gaya (mungkin efek
daripada kecelaruan personalitimu) yang agak ketara. namun dahimu yang lebar tetap menjadi
pujaan hatiku...haha. agak panjang rambutmu...walau bagaimanapun, secara jujur, kau kelihatan
seperti orang yang matang...dengan kaca mata hitammu...tetapi tidaklah sehebat seperti rambut
ariff.
oklah, malam nanti jangan lupa baca hikmah tarawikh ihsan al fadhil syed. wassalam.
***************************************************
From: "YBLalat" [lalat_1881@hotmail.com]
To: Mozac 1998 [mozac98@egroups.com]
Subject: [mozac98][ya, ya itulah aku]
Date: Sun, 03 Dec 2000 05:19:26
assalamualaikum semua dan selamat berpuasa.
diharapkan kamu semua tidak terburu-buru, berlari-lari anak mencari akhbar utusan keluaran 3
disember 2000. oh tidak! bukannya aku tidak mahu kamu semua melihat gambar yang dinyatakan itu.
gambar melayu minnesota yang dicetak itu memang diakui kesahihannya. harapanku agar anda jangan
berasa gentar dan terkejut akan melihat wajah orang yang anda pernah kenali sebagai 'lalat' itu.
ya, ya, benar. itulah 'lalat' yang kau pernah kenali, azman. lihat semua orang, itu, disitu dia.
begitulah dia kini!
setelah melalui dua musim salji yang mencabar dan penuh kesunyian, pasti seseorang itu akan berubah. pasti, bukan? rambutku kini memang panjang, panjang mencecah bahu, jika aku memakai 'snow cap' ke kelas, pasti akan terkeluar segenggam dua jalur hitam rambutku, terbang meliuk ditiup angin sejuk musim gugur. cermin mataku bukanlah 'shades ray-ban' atau apa-apa, cuma ia bertukar menjadi hitam apakala sinar UV dipantul oleh lapisan putih salji yang terapung diatas dedaun hijau yang mereput. tahu tentang itu? bapaku ada sejarah penyakit katarak dan pernah menjalani pembedahan kecil yang berjaya pada mata kirinya. aku cuma sedikit gentar jika cahaya UV di negeri orang ini akan mengundang penyakit yang sama juga.
oh ya, dahiku yang terkenal itu bukan kupinta, tapi kudapat dari bapaku juga. pernah kaulihat dia?
ya, ya, bapaku memang banyak membawa erti kepadaku. dahinya yang luar biasa lebar dan terang bak hutan yang dimamah jentolak pembangunan. aku sayang dia, tapi aku tidak pernah meminta menjadi seperti dia. bukannya aku mahu menyinggung perasaan sesiapa, apalagi bapaku yang sensitif itu, aku cuma berkata jujur. tetapi apa yang boleh dirungutkan, bukankah hal ehwal genetik ini diluar kawalan insan seperti kita?
aku tidak tahu sama ada pertambahan umur meningkatkan kematangan dalam diriku ini. aku rasa tidak.
aku rasa aku sudah besar, ya besar, tetapi cukup tua atau tidak, itu aku masih belum pasti. ya, aku masih belum pasti. rasanya aku kini masih belum mahu meningkat tua. memasuki alam dewasa cukup sukar, tidakkah kau rasa begitu? aku sedih meninggalkan badan muda ini. tenaganya, refleksnya, kecantikannya, semua adalah satu pakej yang cukup sukar ditandingi nilai wang ringgit!
apa pun, yang paling perit ialah menyedari bahawa 19 tahun yang pendek ini banyak kubuangkan
merancang masa depan yang selamat dan teratur, sedangkan kini kuketahui, masa depan tidak pernah
diminta untuk dirancang atau diatur. kesannya amat parah, kata tuhan. ya, ya aku tahu kini tuhan.
masa depan yang diidam-idamkan selama kita belajar bersama di atas bukit bertuah itu, kini kuhidup
didalamnya. kau tahu apa rasanya?
sungguh bosan.
semuanya boleh diramal, semuanya boleh dibawa ke meja perundingan. pilihan kerjaya, pilihan ilmu.
aku rasa tepu dengan maklumat yang aku sendiri tidak tahu kenapa aku mahu-mahu sangat pada mulanya. ilmu bukan dicari kerana isinya, tetapi kerana nilainya pada mata tamak masyarakat kita hari ini. kau tahu apa rasanya kegagalan? ya, ya aku tahu kau sudah lali dengan kegagalan. tetapi ini akulah!
aku! kau kenal aku, bukan? si 'lalat' yang pernah dipapar di muka depan utusan itu?
kaubayangkan dia tersungkur dihadapan ramai, lumpur bersepai terbang kesemua arah dan mendarat
ke mana-mana permukaan bersih yang hampir. kaudengarkan tempik hilai penonton yang penuh terhibur
dengan persembahan dia, si badut leka itu. kaurasa suasana itu? benar, benar ia cukup menghiburkan.
tetapi itulah aku, kawan-kawan sekalian! ya, ya akulah si samdol yang jatuh itu. lucu bukan?
haha...haha...haha. haha...haha...haha. haha...ah, sudahlah. berhentikanlah ketawamu itu. tidak baik, tidak sopan. bulan ramadhan bukan masanya bergelak begitu.
pagi penggambaran foto itu kubangun awal dari biasa. bukan apa, aku tidak dapat tidur sejak dari malamnya. apa yang perlu dipakai? bagaimana kalau cuaca tidak mengizinkan? apa kata orang tuaku melihat wajahku? kamera siapakah yang hendak dipakai? elokkah jika aku menyarungkan baju melayu merah jambuku bersama kain sampin hitam yang berkilat pemberian bapaku? bila masanya aku perlu ke tandas menyikat rambut panjangku? nampak lagi menarikkah jika aku memberi senyuman kepada mesin yang menangkap gambar itu? lebih ceriakah? senyuman bagaimana? begini? atau begini? oh, beginikah? bukan, bukan, begini lebih baik. ya, ya lebih baik.
aku masih punyai ingatan bagaimana aku adalah orang yang berbeza ketika sebelum memanjat kaki bukit di melaka itu. ya, sekolah kita diatas bukit itu, ingat? aku anak kecil yang penuh rasa tanggungjawab dan cita-cita. hatiku pilu ingin berpisah dari keluarga, tetapi aku tahu apa yang perlu dikorbankan untuk memenuhi hasrat diri. aku tidak pernah menyesal dengan apa yang aku korbankan, cuma aku masih berasa terkilan dengan apa yang lima tahun itu telah lakukan terhadap anak kecil yang tidak lagi kukenal itu. dia hilang dan tidak timbul-timbul lagi. aku pula yang dilahirkan. benar, itulah 'lalat' yang kaukenal!
aku benci pada mereka yang mengingatkan aku pada masa silamku. aku berasa kurang senang bersama mereka, berbual dengan mereka, makan bersama mereka. badanku rasa panas, tekakku menjadi kering dan seleraku hilang dengan setiap suapan. setiap kali siling bilikku kutenung sebelum jatuh tidur, aku pasti teringat akan masa silam itu. aku akan merintih kepada tuhan, "mana anak kecil itu kausorokkan? kenapa kau biar aku tanpa dia disini? tidak cukupkah 5 tahun?". aku rasa seperti ingin menangis, tetapi aku tahu itu hanya tindakan yang sia-sia. tuhan bukan bodoh, dia maha mengetahui, ingat? dia tahu air mataku itu bukan air mata taubat, bukan air mata kesal, hanya air mata marah yang tidak mampu memadam api apa pun.
minta maaf.
aku terbabas dari landasan perbincangan kita tadi. haha...haha. aku masih seorang yang pelupa seperti dulu. ariff, kau ingat lagi aku, bukan? ya, ya budak selekeh yang pendiam itu. orang yang suka melihat ke luar tingkap kelas dan berasa dengki akan kebebasan burung-burung dan awan-awan itu? ingatkah kau akan dia? aku berasa segan ingin membandingkan budak itu dengan kau sekarang. wah, kau hebat bukan kini? dia hanya cuba membuat apa yang patut dan dipersetujui oleh kontrak tajaannya. dia kini mencari peluang untuk membawa pulang kertas gulungan yang diidamkan oleh ibubapanya, penajanya, orang kampungnya dan sedara-maranya. dia bergelut dengan buku setiap hari supaya duit yang dia makan setiap bulan tidak jatuh haram. dia tampak letih dan tidak bersemangat seperti dulu. dia selalu terjatuh dari kerusi konsentrasi dan tersungkur ke atas lantai angan-angan. matanya lebam kerana sering merenung ke arah masa lampaunya. dia selalu bersandar pada dinding sejuk biliknya di dalam keadaan gelap gelita. "tidak ingin melihat dengan jelas masa depanku", katanya sayu. aku tidak tahu kenapa. namanya tidak begitu senang dilupakan, kau masih segar akan hal itu? kau ingat lagi dia?
ya, ya jasadnya sedang berdiri di bahu kiri foto itu!
[Malam TenangDinkytown, 3 Disember 2000]
The Work that Becomes a New Genre in Itself Will Now be Called...
No comments:
Post a Comment