The Work that Becomes a New Genre in Itself Will Now be Called...

Monday, June 04, 2001

[Remaja Melayu Lelaki]
oleh YBLalat

[Sudah agak lama aku tidak menulis apa-apa dalam bahasa ibunda; perisian elektronik komputer ini sukar digunakan untuk memproses perkataan Melayu. Selalu sahaja garisan merah menandakan 'ejaan anda salah' timbul dibawah perkataan Melayu yang kutaip. Aku fikir ada baiknya aku menulis catatan harianku dalam Bahasa Melayu pula sekali-sekala, dan jangan ingat aku akan guna bahasa rojak pula. Aku akan sentiasa menggunakan apa-apa bahasa dalam konteks standard bahasa itu. Ya, mungkin anda akan berasa janggal membaca catatan hari ini, dengan istilah Melayu modennya yang aku kira entah betul entah tidak, tetapi bersabarlah. Aku harap pembaca yang jarang menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi harian di US atau di tanahair sekalipun, dapat memahami apa sahaja isi yang cuba kusampaikan. Bukan selalu dapat membaca apa-apa bahan terpapar di Internet yang dinukil dalam bahasa Melayu, tidak begitu?]

Semenjak seminggu dua yang lalu, aku semakin sedar akan perubahan pada berat badanku, garisan pinggangku semakin membesar dan pipiku naik berisi sedikit. Mungkin sahaja aku sedar akan hal ini sejurus selepas selesai makan lauk makan malam yang enak, dengan jumlah yang begitu banyak bagi seorang manusia yang jarang-jarang bersenam. Ya, aku kira hal ini mudah sahaja dilabel paranoia buta, apatah lagi jika kawan-kawan serumahku semuanya amat kurus-kurus belaka dibandingkan dengan diriku. Pyan sering kali menggugat ketenteramanku dengan menyoal "Adakah aku nampak gemuk?" setiap kali dia lalu di depan bilikku, ke arah bilik air untuk mandi petang. Dia begitu sensitif dengan apa yang dia makan, dengan jumlah hari dalam seminggu dia mengeluarkan peluh, sama ada dengan bermain bola keranjang atau berjogging di Rec Center. Aku fikir hanya dia yang paranoia dalam hal-hal kecergasan seperti ini, tetapi kini aku pula yang terasa tempiasnya.

Corak pemakanan yang aku amalkan selalunya tidak tetap, agak sukar untuk dikategorikan. Amnya, aku makan demi kerana ingin makan, tetapi ada kalanya aku makan juga walaupun aku tidak mahu. Jika kau lihat aku makan dengan begitu berselera, dari satu pinggan ke satu lagi, tanpa mempedulikan apa sahaja yang berlaku di persekitaran tempat makanku, itu namanya kebuluran dan hal ini sering sahaja berlaku, apatah lagi semenjak memulakan semula hidup sebagai pelajar yang berjauhan dari keluarga. Ada kalanya aku kelihatan seperti kebuluran, mengunyah dengan laju jumlah makanan yang banyak, tetapi sebenarnya aku dalam keadaan tertekan atau sedih. Melarikan diri daripada tekanan masalah melalui makan dengan jumlah yang tidak berpatutan sudah lama aku lakukan, aku lebih mudah jatuh tidur dalam keadaan kekenyangan. Hanya apabila aku berasa amat tenang dan gembira, akan aku makan dengan sedikit. Sebab itu emakku berasa amat terperanjat setiap kali aku pulang dari sekolahku di Melaka; "Ah, kau sakitkah ini?"

Setiap pagi aku akan cuba elakkan dari menatap wajahku sendiri pada cermin bilik air. Pernah sekali aku mandi dalam keadaan gelap, lampu tidak dinyalakan, kerana aku malu pada keadaan diriku sendiri pada hari itu. Aku akui aku punyai rasa harga diri yang rendah; berjalan dengan bahu yang direndahkan dan mata yang melihat tanah. Setiap kali aku berbual dengan sesiapa pun, aku akan elakkan dari bertembung dengan anak mata orang itu. Suara yang keluar dari mulut ini kadang-kala aku sendiri pun tidak dengar dan sebutanku selalu disalahdengar; "Apa kau kata tadi?". Keadaan ini selalu sahaja menghalang aku dari bersosial dengan orang, tetapi aku fikir orang lain tidaklah begitu berminat untuk bersosial dengan aku. Jadi aku tidak berasa tersinggung.

Sifat aku yang tidak bersenam, tidak aktif bersukan sering dijadikan bahan lawak yang tidak putus-putus berjaya menghasilkan tawa menghilai dari kawan-kawan serumahku. Suatu ketika dahulu, Zulfaa memang gemar membuatkan aku rasa seperti manusia yang paling tidak sihat; "Macam mana mahu dapat otak yang cergas jika tidak bersenam, Lalat? Macam mana mahu dapat 4.0 CGPA?". Aku tampak bodoh dibuatnya, seolah-olah aku ini kawan baiknya dari kampung yang boleh ditunjal-tunjal. Tetapi dia tidak salah, bukan salah dia sepenuhnya. Dia cuma menyuarakan pandangan stereotaip hasil didikan masyarakat. Jika aku memakai kasutnya ketika aku, aku mungkin sahaja penuh bergaya membuat lawak yang sama terhadap budak boroi ini.

Semasa aku di sekolah di Melaka, aku cuma betul-betul serius dalam satu jenis sukan, dan aku teruskan dedikasi terhadap sukan ini sehinggalah tinggal lagi beberapa minggu sebelum SPM. Permainan sofbol tidaklah sepopular sukan bola sepak atau ragbi, yang sering disertai pelajar-pelajar lelaki yang glamor dan tatapan pelajar-pelajar perempuan yang popular, tetapi semenjak seawal di tingkatan dua, aku sudah pun turun ke padang tiga kali seminggu menjalankan latihan atau sahaja datang menonton pasukan bawah 18 bersedia untuk perlawanan persahabatan. Aku kira masa itu aku cuma pemain sofbol yang biasa, bukan pemain harapan atau kesayangan jurulatih, dan sukan hanyalah untuk sukan. Tidak lebih daripada menghilangkan suasana ulat buku dan di samping itu, mengeluarkan peluh sedikit. Walaupun begitu, aku masuk juga dalam senarai pasukan sofbol sekolah bagi kedua-dua kategori bawah 15 dan bawah 18 sepanjang empat tahun bermain, sebagai out-fielder kiri.

Sehingga ke hari ini, aku masih lagi mengikuti sukan sepertinya (besbol) di US, walaupun tidaklah sesemangat dahulu, kerana halangan teman dan peralatan. Rasa sayang dan keseronokan terhadap sukan sofbol selalu sahaja menghantui aku, apatah lagi hampir setiap kali aku membuka televisyen pada petang Sabtu, ada sahaja ditayangkan perlawanan besbol di antara pasukan yang kuat-kuat. Rafique ada menyuarakan usulan agar aku dan dia membeli sepasang sarung tangan tangkap dan sebiji bola sofbol untuk bermain-main di Taman van Cleve pada petang hari. Oh leganya, aku kira tiada siapa lagi yang berminat!

Bukannya kerana aku membenci sukan-sukan yang dimainkan oleh pelajar-pelajar lain di sini, baik ia bola Amerika, bola sepak atau bola keranjang, sehingga aku tidak langsung bersukan. Aku pernah cuba bermain sukan-sukan di atas semasa di sekolah dan juga di sini, tetapi semuanya tidak sesuai dengan batasan fizikal dan minat diriku. Sukan-sukan ini amat fizikal pada sifatnya, dan tidaklah sepintar permainan sofbol. Dalam sofbol, kemenangan bukannya diperolehi daripada bagaimana tepat kautendang bola ke gol atau berapa jauh kaulontar bola ke hujung padang, tetapi secekap mana kaunilai situasi dalam kotak berlian; adakah selamat jika aku lari ke tapak ketiga sekarang, sedang bola terbang diatas kepalaku ke tapak pertama? Bolehkah aku curi satu lagi tapak sedang penangkap tercicir bola dari pegangannya?

Dari majalah-majalah yang kubaca, terdapat satu kajian yang mengeluarkan keputusan bahawa kesan yang sama dilihat pada remaja dan anak muda lelaki apabila mereka didedahkan secara provokatif terhadap iklan-iklan model fesyen yang amat kurus dan tampak sasa. Sebelum ini, kajian berasingan mendapati cuma remaja dan anak muda perempuan yang menampakkan efek tertekan dan rasa rendah diri setelah didedahkan terhadap iklan-iklan model perempuan yang lebih kurus dan mempunyai saiz payu dara yang lebih besar dari mereka. Walaubagaimana pun, aku rasa itu bukanlah sebabnya aku tiba-tiba berasa sangat mengambil berat terhadap penampilan badanku. Mungkin ia hanya naluri aku terasa 'disaingi' oleh kawan-kawan serumahku, kerana mereka semua sudah sibuk menyediakan diri untuk memancing anak gadis orang.

Seperti yang kukatakan dahulu, aku masih belum mahu dirantai dengan tali komitmen oleh mana-mana pihak, baik ia syarikat gali minyak bertaraf konglomerat nasional atau anak dara ketua bahagian yang menjadi kegilaan orang kuat parti. Maka, apa yang perlu dirisaukan lagi, Lalat? Bukankah kau sendiri yang kata: 'Perempuan' dieja 'Masalah'?

Jika ditenung beberapa kali, aku rasa aku tidaklah begitu risau akan perutku yang semakin membesar ini. Seringkali aku ucapkan kepada mereka yang bertanya, "Boroi itu tanda gembira", kerana ia keadaan yang tidak gemuk dan tidak pula kurus. Gemuk itu mengundang penyakit manakala kurus itu tanda mendapat penyakit. "Jika kau mahu boroi, sekaranglah masanya kawan-kawan, sedang kita masih muda. Nanti bila sudah tua, jika kau boroi ketika itu, bukankah sudah terlalu sibuk, terlalu penat untuk bersenam dan menguruskan badan? Fikirkanlah!" Ya, anda fikirkanlah juga.

No comments:

Blog Archive